ID: 7 - Perlumbaan mendaftarkan pengundi baru
Full Description: 28 JUN — Ekoran daripada statistik daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menunjukkan lebih empat juta orang pengundi layak untuk mengundi tetapi masih belum terdaftar sebagai pengundi, telah menyebabkan berlakunya perlumbaan diantara parti-parti politik di Malaysia untuk mendaftarkan pengundi baru.
Daripada jumlah tersebut, jika dipecahkan mengikut negeri Selangor mempunyai jumlah yang paling tinggi iaitu seramai 787,000 orang. Diikuti oleh Johor - 605,000, Perak - 526,000 dan Sarawak - 473,000.
Dikatakan majoriti yang tidak mendaftar sebagai pengundi ini adalah golongan muda yang baru mencecah 21 tahun. Di Malaysia, umur layak mengundi bermula dari 21 tahun.
Pilihanraya umum akan datang akan diadakan selewat-lewatnya sehingga tempoh pemerintahan sekarang tamat pada 2013.
Daripada populasi penduduk yang hampir 27 orang juta, terdapat 11 juta pengundi yang telah berdaftar. Ertinya, jika lebih empat juta yang belum berdaftar berjaya didaftarkan, Malaysia akan mempunyai lebih kurang 15 juta orang pengundi.
Pertambahan empat juta orang pengundi akan memberikan kesan yang besar dalam keputusan pilihanraya akan datang. Jika golongan ini berat kearah menyokong Barisan Nasional (BN), Malaysia akan terus diperintah oleh BN.
Jika golongan ini condrong kepada Pakatan Rakyat (PR), berkemungkinan besar PR mampu menawan Putrajaya. Begitulah pentingnya peranan pengundi-pengundi baru ini.
Tidak hairanlah mengapa parti-parti politik berebut-rebut untuk mendaftarkan golongan ini dengan harapan undi golongan ini akan berpihak kepada parti masing-masing.
Mengapakah empat juta penduduk tidak mendaftar sebagai pengundi?
Amat menarik jika dapat diketahui sebab musabab mengapa golongan ini tidak mendaftar sebagai pengundi.
Apakah proses pendaftaran terlalu sukar? Apakah mereka tidak tahu bagaimana untuk mendaftar? Ataupun mereka tidak berminat untuk terlibat dalam pilihanraya?
Tidak diketahui apakah sebab utamanya. Belum terjumpa lagi analisa atau kajian yang menunjukkan mengapa golongan ini masih belum terdaftar sebagai pengundi.
Jika proses pendaftaran terlalu sukar, ianya perlu dipermudahkan. SPR boleh memperkenalkan mekanisme baru bagi mempermudahkan golongan muda untuk mendaftar sebagai pengundi.
Contohnya dengan memperkenalkan pendaftaran pengundi melalui internet. Mekanisme ini perlu difikirkan dengan sebaik mungkin agar penipuan dan manipulasi tidak wujud.
Jika ramai pihak terutamanya golongan muda tidak tahu bagaimana untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi, adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk memperhebatkan lagi program pendidikan pengundi mereka.
Contohnya SPR boleh bekerjasama dengan media arus perdana dan alternatif untuk mempromosikan program pendidikan pengundi mereka. Tidak mustahil bagi media-media ini tidak mengenakan bayaran bagi promosi SPR untuk mendidik pengundi sebagai “tanggungjawab sosial” mereka kepada masyarakat.
Jika tidak minat untuk terlibat dalam pilihanraya menjadi sebab mengapa golongan muda tidak mahu mendaftar sebagai pengundi, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak baik SPR, parti politik dan NGO untuk menyedarkan golongan ini tentang pentingnya undi mereka sebagai warganegara bagi menentukan masa depan negara.
Pendaftaran pengundi oleh parti politik
Kebiasannya, pengundi akan cendrong mengundi parti politik yang membantu mendaftarkan mereka sebagai pengundi. Walaupun kenyataan ini tidak seratus peratus tepat, namun inilah yang diyakini oleh parti-parti politik dan ini mendorong mereka untuk mendaftarkan pengundi secara agresif.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh SPR mengenai jumlah pendaftaran pengundi baru yang dilakukan oleh parti-parti politik pada tahun lalu, Umno berada di tempat teratas dengan kejayaan mendaftarkan 24,818 orang pengundi.
Sementara DAP berada ditempat kedua dengan 17,756 pengundi baru yang didaftarkan. PAS pula berjaya mendaftarkan seramai 16,987 orang pengundi baru menjadikannya berada di tempat ketiga.
Yang menariknya ialah Umno sebagai parti yang paling banyak mendaftarkan pengundi berbanding dengan parti-parti lain terutamanya parti pembangkang. Kebiasaannya, parti yang memerintah tidak begitu peduli tentang pendaftaran pengundi baru oleh kerana sudah terlalu selesa dengan kuasa.
Tetapi ini tidak berlaku kepada Umno. Walaupun telah selesa memerintah Malaysia semenjak merdeka, Umno tetap turun padang untuk mendaftarkan pengundi baru. Ertinya Umno sedar tentang pentingnya bagi mereka untuk mendaftarkan pengundi baru sebanyak mungkin bagi membantu terus mengekalkan kuasa.
DAP dan PAS adalah parti politik pembangkang veteran dan telah bertanding dalam banyak pilihanraya. Pengalaman telah mengajar mereka tentang betapa pentingnya bagi parti mereka untuk terus mendaftarkan pengundi bagi meningkatkan sokongan yang diperolehi dalam pilihanraya akan datang.
Apa jadi dengan parti-parti politik lain? Kemanakah parti komponen BN yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain lagi? Bagaimana pula dengan PKR bagi PR?
Apakah mereka tidak berminat untuk berusaha mendaftarkan pengundi baru oleh kerana sudah terlalu selesa?
Amalan sihat
Tidak kurang juga peranan yang dimainkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggalakkan pendaftaran pengundi baru. Diantaranya adalah Extraordinary People Impacting Community (Epic) and Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM). Kedua-dua badan ini secara aktif telah menganjurkan program bagi menggalakkan pendaftaran pengundi baru.
Perlumbaan mendaftarkan pengundi baru adalah amalan yang sihat dalam demokrasi berpilihanraya. Jika semakin ramai pengundi berjaya didaftarkan, ini bererti semakin ramai rakyat Malaysia yang terlibat dalam menentukan hala tuju negara.
Kerjasama diantara SPR, parti politik dan NGO amat penting bagi memastikan kesedaran rakyat mengenai hak mereka sebagai warganegara Malaysia untuk melibatkan diri dalam pilihanraya.
Kepada parti-parti politik yang bercita-cita untuk mengekalkan kuasa atau ingin berkuasa, gunakanlah kesempatan yang ada ini untuk mendaftarkan seramai mungkin pengundi-pengundi baru.
Jangan sampai apabila “wisel” sudah ditiupkan, baru kesedaran timbul untuk melakukan sesuatu. Pada ketika itu, sudah tidak ada lagi masa untuk melakukan apa-apa.
Ini adalah kerana setiap pengundi yang didaftarkan memerlukan masa enam bulan sebelum digazetkan nama mereka dalam daftar pengundi. Enam bulan adalah satu tempoh waktu yang panjang dalam politik. Macam-macam yang boleh berlaku dalam enam bulan termasuklah pilihanraya kecil atau pilihanraya umum.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Source: http://www.themalaysianinsider.com/
Neighborhood Links
This listing has been viewed 1518 times.


